Selasa, 1 Mei 2018

(Sembang) Pelancaran Novel Adaptasi Filem Pulang


“Relakan aku pergi Thom. Aku akan pulang.”
PELANCARAN NOVEL ADAPTASI FILEM “PULANG”

KUALA LUMPUR, 27 APRIL 2018 – Primeworks Studios dengan kerjasa Penerbitan Karyaseni Sdn. Bhd. hari ini telah melancarkan sebuah novel berjudul PULANG, yang diadaptasi daripada filem Pulang yang bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi. Majlis pelancaran itu diadakan pada hari pembukaan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 yang bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). 

Pelancaran yang bertempat di Restoran Tanjung Lounge, PWTC ini telah dirasmikan oleh Datuk Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios dan Dato’ Sri Wan Mohd Muzri Ramli, Pengarah Urusan Penerbitan Karyaseni Sdn Bhd. Majlis pelancaran itu turut dimeriahkan dengan kehadiran bintang utama filem PULANG iaitu Remy Ishak dan Puteri Aishah yang melakonkan watak Othman dan isterinya, Che Thom. Sebuah sesi beramah mesra serta sesi menandatangi novel turut diadakan buat para peminat bersama barisan pelakon dan penulis novel yang telah memenangi pelbagai anugerah, Lily Haslina Nasir.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan novel PULANG ini. Novel adalah sebuah platform yang terbaik bagi tujuan memperluaskan kandungan dari digital, TV dan filem. Kami berharap novel ini dapat dihayati oleh semua lapisan masyarakat. Juga,harapan kami adalah untuk mengonsepkan lebih banyak kandungan novel yang lebih hebat di masa hadapan,” ucap Datuk Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios.

Novel PULANG menceritakan sebuah kisah epik merentas 3 generasi, dari tahun sekitar 1940 sehingga ke masa kini. Mengisahkan tentang seorang kelasi bernama Othman yang berasal dari Serkam, Melaka yang menempuh pelbagai rintangan dan dugaan ketika belayar ke segenap pelusuk dunia untuk memenuhi janjinya mencari harta dan kekayaan buat isterinya, Che Thom dan anak lelaki tunggalnya, Omar. Sepanjang pemergian suami tercinta, Che Thom setia menanti kepulangan suaminya siang dan malam selama 61 tahun. 



“Ribuan terima kasih di ucapkan kepada pihak Primeworks Studios kerana memberi kepercayaan kepada kami untuk kerjaya yang pertama dalam menghasilkan novel yang di adaptasi dari filem berjudul PULANG ini. Saya percaya novel ini akan mendapat sambutan orang ramai dan berharap kerjasama ini akan berterusan di masa akan datang,” kata Dato’ Sri Wan Mohd Muzri Ramli, Pengarah Urusan Penerbitan Karyaseni Sdn Bhd.

Novel PULANG adalah sebuah hasil nukilan novelis terbaik yang dikenali dengan nama pena Lily Haslina Nasir. Berpengalaman menulis lebih dari 30 buah novel termasuklah Izinkan Aku Jadi Sayapmu dan Lelaki Lingkungan Cinta. Nukilan beliau pasti akan menyentuh perasaan pembaca dengan memberikan gambaran hidup nelayan dan kelasi yang merentas lautan pada era 40-an sehingga 60-an. 

Novel yang diinspirasikan daripada kisah hidup sebenar Datuk Ahmad Izham Omar dan Omar Othman ini boleh didapati di pesta buku mulai hari ini. Hanya sebanyak 8,000 naskah cetakan pertama edisi terhad yang menampilkan Remy Ishak sebagai Othman sebagai muka hadapan. Novel ini boleh dibeli dengan harga RM25 di Semenanjung Malaysia dan RM28 untuk Sabah & Sarawak. 

Novel PULANG akan tiba di kedai-kedai buku seperti MPH, Popular dan kedai buku berhampiran mulai pertengahan bulan Mei 2018. Pembaca boleh mendapatkan novel ini melalui aplikasi Karyaseni (muat turun dari Google Play atau App Store), Lazada, dan laman sesawang Karyaseni di www.karyaseni.my. 

Untuk info lanjut mengenai filem PULANG lawati laman Facebook rasmi di www.facebook.com/pulangthemovie. Filem PULANG yang diarahkan oleh Kabir Bhatia bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia selepas Hari Raya Aidilfitri.

Remy Ishak sebagai Othman

Puteri Aishah sebagai Thom

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger

Foto saya
Johor Bahru, Johor, Malaysia
Blog Hiburan dan Peribadi