Rabu, 30 September 2026
(Drama Baharu) Sinopsis Andai Masih Ada Maaf TV3
Isnin, 14 September 2026
Slot Camelia untuk drama Thailand di TV3
TV3 sekali lagi membuktikan komitmennya dalam menyajikan kandungan hiburan terunggul dan meluas buat rakyat Malaysia menerusi pelancaran slot drama terbaharu, Camelia, yang dijadualkan menemui penonton bermula 14 September 2026. Slot khas ini dibawakan bagi memenuhi fenomena serta permintaan tinggi peminat tempatan terhadap naskhah drama dari Thailand yang terkenal dengan daya tarikan serantau yang sangat kuat.
Slot Camelia akan bersiaran secara eksklusif di TV3 pada setiap Isnin hingga Rabu, jam 12.05 tengah hari. Sebagai naskhah pembuka tirai slot baharu ini, TV3 membawakan drama romantik sejarah (historical romance) popular tahun 2024 dari Thailand, Surviving Beauty. Mula ditayangkan dari 14 September hingga 18 November 2026 sebanyak 30 episod, drama ini menampilkan barisan pelakon terkemuka Thailand seperti Amanda Obdam, Phet Thakrit dan Denkhun Ngamnet.
Surviving Beauty mengisahkan perjalanan hidup Cherkwan (Amanda Obdam), seorang gadis bandar yang jelita tetapi terpaksa melarikan diri ke kawasan pergunungan Phu Phraya Lor selepas difitnah membunuh pengantin lelakinya pada hari perkahwinan mereka. Dalam usaha membersihkan namanya, Cherkwan meminta perlindungan daripada Chalaybutr (Phet Thakrit), abang kepada rakan baiknya.
Namun, kehadiran Cherkwan tanpa disengajakan telah menyemarakkan semula persaingan sengit antara Chalaybutr dan musuh tradisinya Khetkham (Denkhun Ngamnet), seorang pemilik lombong tempatan yang tegas dan berpengaruh. Ketika Cherkwan berjuang untuk bertahan hidup di kawasan luar bandar yang terpencil, dia terperangkap dalam cinta tiga segi sambil membongkar rahsia keluarga yang lama terpendam, dendam lama dan persaingan perniagaan yang pahit. Cabaran demi cabaran ini bakal menguji batas kesetiaan, pengorbanan dan kekuasaan cinta sejati.
Sebelum menembusi pasaran Malaysia, Surviving Beauty merupakan naskhah bersiri yang mencatatkan kejayaan luar biasa sewaktu bersiaran di stesen Channel 3 Thailand. Drama ini berjaya mendominasi carta rating TV harian bagi slot tayangannya, malah kejayaan ini turut dikuatkan lagi dengan kemunculan sulung Ratu Cantik Thailand (Miss Universe Thailand 2020), Amanda Obdam, yang memegang watak utama. Selain menguasai skrin televisyen, naskhah ini turut tular di platform media sosial dengan menduduki tangga teratas trend di X Thailand pada setiap minggu, di samping meraih jutaan tontonan menerusi platform penstriman digital seperti 3Plus dan TrueID.
Pengurus Besar, Strategi Kandungan & Audiens, TV3 & TV9, Rangkaian TV & Kandungan Media Prima, Puan Marlia Zul Amran berkata, pelancaran slot baharu ini merupakan langkah strategik dalam terus memberikan variasi tontonan terbaik buat audiens tempatan. "Drama Thailand mempunyai daya tarikan emosi dan penceritaan yang amat dekat di hati audiens Malaysia. Menerusi penjenamaan slot Camelia, kami bukan sahaja membawakan karya hiburan berkualiti tinggi, malah mengetengahkan kisah-kisah wanita yang cekal dan berjiwa besar. Kami yakin slot ini bakal menjadi peneman setia penonton TV3 pada sebelah tengah hari," jelasnya.
Saksikan tayangan perdana drama Surviving Beauty di slot Camelia, bermula 14 September 2026, setiap Isnin hingga Rabu jam 12.05 tengah hari hanya di TV3. atau strim lebih awal menerusi Tonton pada setiap hari Jumaat bermula 10 September 2026l di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.
Ahad, 13 September 2026
Wanita Hari Ini berwajah baharu
Isnin, 27 Julai 2026
(Drama Baharu) Sinopsis drama Akad Tak Dipinta TV3
Kuala Lumpur, 23 Julai 2026 – Apabila sebuah ikatan perkahwinan tidak dibina atas dasar cinta melainkan api dendam yang membara, penderitaan menjadi takdir yang tidak dapat dielakkan. Akad Tak Dipinta, sebuah drama terbaharu melodrama psikologi-romantis yang sarat dengan konflik emosi, manipulasi dan rahsia keluarga, bakal menemui penonton mulai 30 Julai hingga 2 September 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda TV3.
Menampilkan gandingan mantap Redza Rosli, Nasuha Sulaiman, Faa Zaini, Darien Aeldra dan Sharifah Shahora, drama 20 episod ini bakal membawa penonton menyelami perjuangan emosi watak-watak utama yang terperangkap dalam percaturan takdir, pengkhianatan dan misteri kematian silam.
Akad Tak Dipinta mengisahkan Seri (Nasuha Sulaiman), seorang akauntan yang cuba membina semula hidupnya selepas kehilangan cinta pertamanya Saif (Fendy Bakry), dalam sebuah kemalangan tragis. Kehidupan Seri kembali terancam apabila dipertemukan dengan Seth (Redza Rosli), majikannya yang dingin dan penuh rahsia. Demi menyelamatkan diri daripada perkahwinan yang mengongkong, Seri menerima lamaran Seth tanpa menyedari akad tersebut adalah permulaan sebuah mimpi ngeri.
Sebaik melangkah ke alam rumah tangga, hakikat sebenar terbongkar bahawa Seth merupakan adik kandung kepada arwah Saif. Seth mengahwini Seri semata-mata untuk membalas dendam atas kehancuran keluarganya, sekali gus menjadikan Seri buruan hukuman emosi atas kesalahan yang tidak pernah dilakukannya. Situasi menjadi semakin parah dengan kehadiran Harlyn (Faa Zaini), yang licik menggunakan pelbagai tipu muslihat dan manipulasi untuk merampas Seth di samping menghancurkan hidup Seri.
Di sebalik derita, tangisan dan konflik korporat yang melanda, satu persatu rahsia gelap mula terlerai termasuk kebenaran sebenar di sebalik kematian Saif serta persengketaan keluarga yang tersembunyi. Mampukah kejujuran merawat luka dendam yang membara atau adakah perkahwinan ini bakal berakhir dengan kehancuran mutlak?
“Watak Seth menguji emosi dan minda kerana dia terperangkap antara kebencian yang dalam dan perasaan yang mula berubah tanpa disedari. Perkahwinan ini bermula atas dasar dendam, namun kebenaran sering kali datang dengan harga yang sangat tinggi. Saya percaya penonton akan turut merasakan pergelutan jiwa setiap watak dalam drama ini,” jelas Redza Rosli.
Lebih daripada sekadar kisah penderitaan rumah tangga, Akad Tak Dipinta menyajikan naratif psikologi dan suspens yang mendalam tentang hakikat kejujuran, pengorbanan serta impak kebencian yang memakan diri. Dengan plot yang mendebarkan dan sarat permainan emosi, drama ini menjanjikan tontonan yang mencengkam perasaan dari episod pertama hingga ke penghujungnya.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama Akad Tak Dipinta, mulai 30 Julai 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda TV3.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.


.jpg)





