Isnin, 9 November 2026

(Drama Baharu) Sinopsis drama Tertulis Kita Sampai Syurga TV3

Apabila takdir mendesak penyatuan dua jiwa yang berbeza, mampukah sebuah ikatan bertahan menempuh badai penghendap yang obsesif? Tertulis Kita Sampai Syurga, sebuah drama bersiri 28 episod yang sarat dengan konflik jiwa, ketabahan dan ujian kasih sayang, bakal menemui penonton bermula 9 November ini, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam menerusi slot Akasia di TV3.

Menampilkan gandingan mantap Shukri Yahaya (Luthfi Hakimi), Qistina Khaled (Arya Darlina) dan Ramona Zamzam (Fiona) sebagai teraju utama serta turut dibantu oleh barisan pelakon yang bersama menjayakan drama ini seperti Auni Yusri (Shaza), Muhsin Nadzli (Naufal), Emily Elizabeth (Mel), Hafeez Mikael (Firdaus), Rahim Jailani (Tuan Zahir), Ainina Ahmad B (Puan Dahlia), Adik Adra Azzahra (Aesya), Adik Maya Fathia (Aura) dan Raff Roslee (Rizal). 

Drama ini mengisahkan perjalanan seorang gadis remaja yang sosial dan sering memberontak terpaksa menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu sebagai isteri dan ibu, di samping berdepan pelbagai cabaran yang menguji ketabahan dirinya.

Tertulis Kita Sampai Syurga mengisahkan Arya Darlina (Qistina Khaled), terpaksa menerima
perkahwinan aturan keluarga bersama Luthfi Hakimi (Shukri Yahaya), seorang bapa tunggal yang tegas. Hubungan mereka yang pada awalnya dingin mula bertukar menjadi sayang apabila Luthfi menyelamatkan Arya daripada gangguan seorang rakannya sendiri yang obses terhadap dirinya. Namun, kebahagiaan yang mula dibina tidak bertahan lama apabila hubungan mereka digugat oleh kecemburuan Shaza (Auni Yusri), sepupu Arya, serta dendam Fiona (Ramona Zamzam), bekas isteri Luthfi.

Konflik yang semakin meruncing akhirnya membawa kepada sebuah tragedi yang berpunca daripada Fiona mengancam kehidupan keluarga baharu itu. Dihimpit kesedihan dan rasa bersalah, Arya dan Luthfi terpaksa berdepan ujian yang menguji kekuatan ikatan mereka. Mampukah cinta yang
menyatukan mereka menjadi kekuatan untuk bangkit semula dan mencari kedamaian selepas segala yang berlaku?

Mengulas mengenai penglibatannya dalam drama ini, Qistina Khaled berkongsi bahawa watak dibawanya iaitu Arya Darlina membawa cabaran emosi yang sangat mendalam buat dirinya. "Watak Arya adalah satu perjalanan jiwa yang sangat mencabar. Daripada seorang gadis sosial yang berjiwa pemberontak, dia terpaksa belajar memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, sebelum terpaksa
berdepan dengan pelbagai dugaan serta trauma yang menguji kekuatan minda dan fizikalnya. Saya berharap penonton dapat merasai penderitaan, keberanian, dan perjuangan Arya dalam mempertahankan keluarga baharunya," katanya.

Bukan sekadar drama melayu biasa yang selalunya berpaksikan konflik rumah tangga klise, Tertulis Kita Sampai Syurga tampil luar biasa dengan mengangkat ketabahan sebuah keluarga, kedalaman emosi, dan pengorbanan cinta yang sebenar. Keunikannya diserlahkan lagi menerusi garapan plot yang seimbang yang menyulam momen menyentuh jiwa bersama sentuhan humor yang menceriakan sepanjang tayangannya. Drama hebat ini merupakan terbitan MIG Pictures Sdn. Bhd. di bawah
arahan pengarah Along Kamaludin, dengan sentuhan penulis skrip daripada Panel Skrip MIG yang diadaptasi daripada karya novelis Aalin Amily.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Tertulis Kita Sampai Syurga, bermula 9 November 2026,
setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Penonton juga boleh menyaksikan episod baharu 24 jam lebih awal melalui striman dalam talian di www.tonton.com.my atau dengan
memuat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger

Foto saya
Johor Bahru, Johor, Malaysia
Blog Hiburan dan Peribadi