Pengarah drama Korban Kasih memberi penjelasan tentang isu Saharul Ridzwan, Azrel Ismail dan Zara Zya yang tidak sesuai memegang watak sebagai murid sekolah menengah dalam drama tersebut. ED kongsikan di blog ini.
Azrel Ismail, Zara Zya dan Saharul Ridzwan sebagai watak murid sekolah menengah dalam drama Korban Kasih di TV1. Ini hanya sementara dan sesi flashback dalam drama tersebut.
KENYATAAN MEDIA
Assalamualaikum WBT
Terlebih dahulu, saya ucapkan berbanyak terima kasih atas sokongan semua pihak kepada drama bersiri Korban Kasih. Setakat ini, sambutannya amat menggalakkan dan menerima pujian positif dari penonton yang sudah lama mahukan drama kekeluargaan seumpama ini dihasilkan. Ia juga turut trending di media sosial pada setiap episod.
Namun terdapat satu komen yang tular di media sosial berkenaan dengan penggunaan pelakon yang tidak sesuai dan sado membawakan watak pelajar sekolah. Komen sebegini bagi saya datangnya dari penonton yang tidakpun menonton drama ini, sebaliknya membuat komen berasaskan andaian semata-mata dan hanya membaca tajuk artikel. Mereka juga beranggapan keseluruhan drama ini hanya berkisar pada zaman persekolahan kedua-dua watak utama sedangkan ia hanya melibatkan episod ‘flashback’ sahaja. Terima kasih kepada peminat drama ini yang banyak memberikan komen balas mematahkan komen-komen negatif dari netizen kerana mereka tahu realiti sebenar drama ini.
Justeru, Izinkan saya memberi penjelasan tentang perkara ini dan perkara lain yang berbangkit:
1. Pemilihan Pelakon
Pemilihan dibuat dengan persetujuan semua pihak yakni Penerbit, Pengarah, Penulis Skrip dan pihak RTM. Ia berdasarkan kesesuaian watak, tahap disiplin dan komitmen, keserasian antara pelakon dan yang terakhir populariti dan persetujuan pelakon tersebut.
2. Keperluan Mengikut Jalan Cerita
Drama ini diadaptasi dari novel Korban Kasih dan Korban Kasih 2 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Jalan ceritanya melibatkan beberapa fasa kehidupan keluarga Fauzi dan Norizah. Untuk lebih menarik, penulis skrip telah menambah jalan cerita dan watak yang sedikit berbeza dengan novel.
Fasa pertama ialah zaman mereka bersekolah dari sekolah rendah hingga ke STPM (Episod 1-12) dan fasa kedua apabila anak-anak Norizah meniti usia remaja.
Fasa kedua ( Episod 13-30) mengisahkan anak-anak dari keluarga ini melanjutkan pelajaran dan melalui fasa kehidupan setelah dewasa. Watak Jalil berhijrah ke Kuala Lumpur, belajar secara sambilan dan menjalani latihan praktikal di firma arkitek seterusnya menjadi Arkitek berjaya. Jamil pula menyambung pengajian ke USM sebelum ke London sehingga pulang menjadi Doktor. Aziah pula bekerja di café sehingga mengusahakan perniagaan sendiri.
Anggaran masa perjalanan cerita ini dari STPM hingga mereka bekerja dan berjaya adalah antara 5- 6 tahun (2014-2020).
Agak sukar untuk mengambil pelakon remaja lain bagi membawakan watak Jalil dan Jamil di zaman persekolahan kerana watak Jamil dan Jalil dewasa selepas itu perlu seiras dengan pelakon remaja tadi sedangkan jarak masanya zaman persekolahan dan dewasa hanya 2-3 tahun sahaja. Bagaimana pula jika pelakon remaja diambil, adakah mereka boleh membawakan watak Jamil dan Jalil dewasa yang akan berkahwin dan bekerjaya.
Pihak kami juga menyedari dari awal dan menjangkakan akan berlaku pertikaian di kalangan penonton tentang hal ini. Oleh sebab itu, pihak kami mengambil keputusan untuk mengekalkan pelakon sedia ada (Saharul Ridwan dan Azrel Ismail) dengan beberapa pengubahsuaian perwatakan dan jalan cerita iaitu :
a. Menghapuskan scene-scene di bilik darjah dan sekolah agar isu watak orang dewasa membawakan watak pelajar sekolah diminimumkan dan hanya melibatkan scene-scene penting sahaja bagi menyokong jalan cerita.
b. Memasukkan scene menunjukkan karekter Jalil yang suka bersenam dan bermain besi di waktu lapang (Episod 1) bagi menyokong keadaan fizikal Saharul Ridzwan yang agak ‘sado’.
3. Watak Norizah (Dynas Mokhtar)
Persoalan lain yang dibangkitkan netizen adalah watak Norizah yang agak muda, urban dan bergaya. Mereka yang memberi kritikan tidak membaca novel dan tidak mengetahui karekter Norizah yang harus dibawa dalam drama ini.
Norizah adalah wanita cantik, anak orang kaya (Dato Ismail dan Datin Hasnah yang dibawa Dato Ahmad Tamimi Siregar dan Shiela Hassan). Dia dalam usia yang muda memilih untuk hidup bersama Fauzi (Hasnul Rahmat), seorang pemuda kampung yang miskin. Beliau kemudiannya mendapat cahayamata iaitu Kak Long ( Ezzaty Abdullah), Kembar Jamil dan Jalil (Saharul Ridzwan dan Azrel Ismail) dan Fatimah (Zara Zya).
Watak Norizah dalam drama ini harus dipaparkan cantik, awet muda dan bergaya sesuai dengan statusnya yang berasal dari bandar dan anak orang berada yang sesuai dengan Dynas Mokhtar.
Namun, kami menghormati pandangan penonton yang berhak memberikan komen mereka. Cuma komen itu sangat tidak adil bagi kami yang berusaha menerbitkan sebuah novel yang sarat dengan mesej kekeluargaan dan diinspirasi dari novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, sebuah institusi yang dihormati.
Pihak produksi Mache AllStar United Sdn Bhd juga mengemukakan cadangan penerbitan drama ini ke pihak RTM adalah dengan niat untuk mengimbangi lambakan drama adaptasi novel ringan dan cinta yang telah banyak diterbitkan oleh pelbagai pihak dalam bentuk drama. Usaha ini juga yang diharapkan oleh ramai peminat drama Melayu.
Pesanan kami kepada semua pihak agar menonton drama ini sehingga episod akhir kerana ia adalah drama mempunyai kelainan tersendiri. Walaubagaimananpun, jika ada kelemahan kecil lain dalam drama ini, ia akan dijadikan panduan kepada kami untuk masa akan datang.
Teruskan menyokong drama Melayu, kerana jika tidak kita siapa lagi yang hendak kita harapkan. Teruskan menonton #KORBANKASIH, setiap hari sepanjang Ramadan Jam 7.00 petang hanya di TV1 dan ulangan Jam 5.00 pagi juga di TV1 atau https://myklik.rtm.gov.my/.
Yang Buruk Dari Kelemahan Manusia, Yang Baik Hanya Dari Allah jua.
MOHD FAZLI YAHYA (PALI YAHYA)
MACHE ALLSTAR UNITED SDN BHD
28 April 2020
5 Ramadan 1441
keje nak kritik yang negatif macam ni, elok takyah la tengok. tengok la drama lain kat TV 3 Suku ke ape ke. geram pulak bile dengar orang pertikai kenape pelakon macam tu, macam ni..
BalasPadam