Rabu, 18 Mac 2026

(Drama Baharu) Sinopsis drama Hilang Dalam Rindu 2

Selepas kejayaan musim pertama yang memperoleh 9 juta tontonan di
televisyen dan 1.5 bilion capaian di media sosial, kisah cinta Aira dan Eijaz kembali menyentuh hati penonton menerusi sambungan drama Hilang Dalam Rindu 2, yang bakal ditayangkan bermula Hari
Raya Pertama bagi memeriahkan suasana sambutan Hari Raya dan kempen Ramadan Raya 2026.

Satu sesi iftar istimewa HDR2 telah diadakan di Banglo 289, ibu negara bagi memperkenalkan drama tersebut kepada para peminat dan rakan media. Majlis ini bukan sekadar sesi berbuka puasa bersama, tetapi peluang eksklusif bagi peminat untuk berinteraksi lebih dekat dengan para pelakon, berkongsi detik
bermakna sekali gus mempererat hubungan antara penonton dan watak-watak dalam drama ini.


Menampilkan gandingan pelakon Jazmy Juma dan Tracie Sinidol sebagai pasangan utama, drama ini turut dibintangi Zarif Ghazzi dan pelakon senior Jalaluddin Hassan yang menghidupkan kisah penuh emosi tentang perkahwinan, keluarga dan kekuatan cinta selepas melalui pelbagai ujian.

Hilang Dalam Rindu 2 membuka cerita dengan detik cemas apabila Aira selamat melahirkan anak pertama mereka, Eirman. Namun pengalaman hampir kehilangan Aira (Tracie Sinidol) ketika bersalin meninggalkan trauma mendalam dalam diri Eijaz (Jazmy Juma). Sejak itu, kehidupan mereka sebagai ibu bapa baharu dipenuhi cabaran apabila Eijaz menjadi terlalu melindungi, manakala Aira pula berusaha membuktikan dirinya mampu mengurus keluarga dengan caranya sendiri.

Perbezaan pandangan antara mereka sering mencetuskan pertengkaran kecil, walaupun diselangi detik manis dan lucu dalam kehidupan rumah tangga. Ketegangan semakin terasa apabila kisah silam kembali menghantui keluarga mereka, termasuk kemunculan individu yang pernah melukai hidup mereka sebelum ini.

Hilang Dalam Rindu 2 bukan sekadar kisah cinta suami isteri tetapi juga menyelami trauma, kepercayaan dan perjalanan membina keluarga yang penuh cabaran. Ia turut mengetengahkan aspek keibubapaan, tanggungjawab berkeluarga serta pengorbanan yang perlu dilakukan demi mempertahankan dan menguatkan sebuah institusi keluarga.
Menerusi jalan cerita yang menyentuh emosi, konflik kekeluargaan yang dekat dengan realiti kehidupan serta lakonan mantap barisan pelakon, drama ini menjanjikan pengalaman tontonan yang menghiburkan dan penuh makna kepada penonton.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Hilang Dalam Rindu 2, bermula Hari Raya Pertama hingga Hari Raya Kelima, jam 10.30 pagi di TV3. Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat
 

Selasa, 17 Februari 2026

(Drama Baharu) Sinopsis drama Kerana Cinta Itu Dusta TV3

Di sebalik senyuman sempurna dan perkongsian yang tampak bahagia di media sosial, tersembunyi dusta yang mampu meruntuhkan segalanya. Kerana Cinta Itu Dusta membawa penonton menyelami kisah penuh emosi, konflik dan pengkhianatan yang menguji kepercayaan, persahabatan dan maruah diri. Saksikan bagaimana rahsia dan pilihan sukar membentuk takdir watak-wataknya, bermula 25 Februari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10.00 malam di slot Samarinda, TV3.

Para pelakon Kerana Cinta Itu Dusta.

Dibintangi barisan pelakon popular Jazmy Juma, Emma Maembong, Azira Shafinaz dan Nazrief Nazri, drama 30 episod ini mengangkat kisah cinta moden yang terperangkap antara kejayaan, ego dan kepercayaan yang dikhianati. Dengan latar dunia pempengaruh, Kerana Cinta Itu Dusta
menyelongkar realiti pahit apabila populariti menjadi racun dalam sebuah perkahwinan.

Drama ini mengisahkan Orked (Emma Maembong) dan Sufian (Jazmy Juma), pasangan suami isteri yang bermula dari bawah membina perniagaan dari rumah sebelum mencipta nama sebagai pempengaruh berjaya. Kejayaan mereka banyak digerakkan oleh kebijaksanaan Orked dalam dunia bisnes, manakala Sufian setia menyokong di belakang tabir. Namun, apabila Orked semakin menyerlah dan berpengaruh, Sufian mula tenggelam dalam bayang-bayang isterinya sendiri.
Rasa tersisih dan ego yang tercalar mula mengheret Sufian ke arah keputusan-keputusan yang semakin meretakkan kepercayaan dalam rumah tangganya. Kehadiran Seri (Azira Shafinaz), sahabat rapat Orked, secara perlahan-lahan mengubah dinamik yang selama ini dianggap selamat dan utuh.

Lebih menyayat hati, Seri bukan sekadar kawan biasa, malah insan yang pernah diselamatkan Orked daripada perkahwinan toksik dan diberi ruang untuk membina semula hidupnya. Batas yang semakin kabur dan rahsia yang tersimpan mula menguji nilai setia serta kepercayaan, hingga hubungan yang dibina atas dasar saling melindungi perlahan-lahan goyah. Apabila kebenaran kian menghampiri, bukan sahaja perkahwinan terancam, malah persahabatan turut retak, memaksa Orked memilih antara mempertahankan maruah diri atau terus berdiam demi ketenangan yang rapuh. Mampukah hubungan ini diselamatkan, atau segalanya bakal musnah tanpa jalan kembali?

Jazmy Juma 

Jazmy Juma turut berkongsi pandangannya mengenai watak Sufian yang disifatkannya bukan sekadar lelaki ego, tetapi seseorang yang berdepan rasa dipinggirkan. Menurutnya “Cabaran terbesar membawa watak Sufian ini adalah memahami mengapa masalah yang sepatutnya diselesaikan secara matang akhirnya dibawa ke media sosial untuk mencari validasi. Dalam realiti hari ini, apabila emosi mengatasi rasional, satu perkongsian sahaja mampu memburukkan keadaan.”

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Kerana Cinta Itu Dusta, bermula 25 Februari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10.00 malam di slot Samarinda TV3.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

Isnin, 19 Januari 2026

(Drama Baharu) Di Sebalik Jubah

KISAH PENUNGGANG AGAMA PEREMPUAN

Tonton Original Series: Di Sebalik Jubah lakonan Daiyan Trisha dan Azira Syafinaz.


Sipnosis drama seperti berikut:-
Layla dan Amina ialah dua beradik yang terkenal sebagai influencer Muslimah yang kononnya baik hati dan rajin buat kerja amal. Ramai orang kagum dan percaya pada mereka. Tapi di sebalik imej suci tu, sebenarnya sebahagian besar duit derma digunakan untuk hidup mewah sendiri.

Rashid, seorang dermawan muda, mula sokong dan percaya pada misi mereka. Namun dia mula rasa pelik bila projek kebajikan yang dijanjikan rupanya tak wujud. Dengan bantuan Lina, seorang intern, dan Nik, seorang penyiasat persendirian, satu demi satu rahsia mula terbongkar.

Bila orang ramai mula syak, Amina dihantui rasa bersalah dan nak mengaku. Tapi Layla pula sanggup buat apa saja untuk kekalkan kuasa — termasuk manipulasi adiknya sendiri. Lina akhirnya bongkar kebenaran, mencetuskan kecoh besar.

Akhirnya, Amina tampil mengaku kesalahan, manakala Layla ditangkap ketika cuba melarikan diri. Amina cuba menebus kesilapan, dan nasib Layla pula ditentukan oleh undang-undang.



Sabtu, 17 Januari 2026

(Drama Baharu) Sinopsis drama Bisik Asmara TV3

Di sebalik kehidupan yang kelihatan sempurna, tersembunyi bisikan hati yang mampu meruntuhkan segalanya. Bisik Asmara, sebuah drama sarat emosi tentang kesunyian, godaan dan konflik perasaan, bakal menemui penonton mulai 21 Januari hingga 10 Februari 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda, TV3 atau di platform penstriman iQIYI.


Menampilkan lakonan hebat Zul Ariffin, Sophia Albarakbah dan Uqasha Senrose, drama 20 episod ini diterbitkan oleh Saphire Screen di bawah arahan Jamal Khan, serta skrip nukilan Rozie Rashid dan Zakinah Ab Zarith. Setiap episod membawa penonton menyelami kisah tiga jiwa yang terperangkap dalam hubungan penuh batasan dan dilema emosi.

Zul Ariffin dan Uqasha Senrose 

Bisik Asmara mengisahkan Noreen (Uqasha Senrose), seorang wanita berdikari dan berkerjaya yang hidupnya kelihatan sempurna, namun dihimpit kesunyian kian mendalam. Kehidupan teraturnya mula tergugat apabila Farhan (Zul Ariffin), rakan sekerja yang berdepan masalah tempat tinggal, memerlukan rumah sewaan sementara.

Zul Ariffin 

Farhan terpaksa menjalani perkahwinan jarak jauh dengan isterinya, Sheila (Sophia Albarakbah), yang memilih untuk menetap di kampung demi menjaga ibunya Umi (Ruminah Sidek), yang uzur dan menghidap demensia. Kehadiran Farhan sebagai jiran, suami yang terperangkap antara tanggungjawab dan keperluan emosi, perlahan-lahan mencetuskan perasaan yang tidak sepatutnya wujud.


Hari demi hari, Noreen semakin dekat dengan Farhan meskipun terikat dengan rasa tanggungjawab dan kebimbangan. Tanpa disedari, hubungan yang bermula secara tidak bersalah berubah menjadi permainan emosi, obsesi dan pengkhianatan perasaan, sekali gus menguji kesetiaan, kejujuran serta batas moral. Dalam masa sama, Sheila yang berkorban demi keluarga mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena, membuka ruang kepada yang semakin meruncing dan keputusan-keputusan sukar yang bakal mengubah hidup mereka semua.


Mampukah kepercayaan yang patah kembali dipulihkan atau adakah kesunyian akan terus menjerut jiwa?


“Watak Farhan sangat dekat dengan realiti. Ramai lelaki bergelut antara tanggungjawab sebagai suami dan keperluan untuk difahami sebagai manusia. Drama ini bukan untuk menghakimi, tetapi untuk membuka perbincangan. Kadang-kadang bukan cinta yang salah, tetapi pilihan yang kita buat ketika hati sunyi,” jelas Zul Ariffin.


Lebih daripada sekadar kisah cinta terlarang, Bisik Asmara mengangkat realiti tentang kesunyian dalam perkahwinan, keperluan emosi yang terabai serta akibat apabila batas perasaan dilanggar.

Dengan penceritaan yang matang, konflik psikologi yang mendalam serta lakonan berkesan daripada barisan pelakon utama, drama ini menjanjikan pengalaman tontonan yang mencengkam dan dekat dengan realiti kehidupan moden.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Bisik Asmara, bermula 21 Januari 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda TV3. Penonton boleh menonton episod baharu secara eksklusif di iQIYI, 1 jam selepas siaran di TV3, sama ada melalui laman web iQIYI atau aplikasi di Google Play dan App Store.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat


 

Selasa, 6 Januari 2026

(Ulasan) Elizad bukan melalak suka-suka dalam Perempuan Tidak Ternikah

Rasanya dalam banyak-banyak drama Elizad, drama Perempuan Tidak Ternikah TV3 adalah drama yang paling berat dan mencabar. Dalam drama ini, Elizad memegang watak Keisha yang memerlukan dia menangis, melalak, menjerit dan berkelakuan kasar. Ini kerana watak Keisha adalah seorang penghidap PTSD (Post-Traumatic Stress Disorder). Pelbagai pengalaman pahit pernah Keisha hadapi sehingga dia menghidap PTSD. Memang jalan cerita drama ini berat sebenarnya.

Elizad Sharifuddin 

Daripada Instagram Elizad tentang watak Keisha.

Seperti biasa Elizad bawa watak Keisha dengan cemerlang sehingga ada penonton yang stres tengok lakonannya menangis dan melalak dalam drama ini.

Drama Perempuan Tidak Ternikah ini mengajar kita tentang keadaan orang yang mengalami PTSD. Sebelum ini, mungkin kita tidak pernah ambil tahu tentang penyakit ini. Akhir kata, tahniah untuk semua team drama ini kerana menghasilkan sebuah drama yang berkualiti dan memberi ilmu baharu kepada penonton.

Perbualan ED bersama pengarah drama ini, abang Eoon Shuhaini petang tadi.

Selesai drama Perempuan Tidak Ternikah pada hari ini. Assalammualaikum.

(Drama Baharu) Sinopsis drama Doa Yang Terlindung TV3

Apabila doa yang dipanjatkan dalam diam bertembung dengan rahsia yang lama terkubur, siapakah yang akan dilindungi dan siapakah yang akan dikorbankan? Doa Yang Terlindung, sebuah drama baharu penuh konflik dan emosi, bakal menemui penonton mulai 7 Januari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. 


Menampilkan lakonan mantap Fasha Sandha, Firdaus Karim, Sharifah Rose, Nafiz Muaz, Meor Hashim dan barisan pelakon lain. Setiap episod mengajak penonton menyelami perjalanan emosi seorang wanita yang diuji tanpa belas, sehingga dipaksa bangkit daripada runtuhan hidup yang hampir memusnahkan jiwanya.


Diarahkan oleh Idora Abdul Rahman dengan skrip hasil karya Nieza Nahar, Doa Yang Terlindung hadir dalam 28 episod yang mengupas sisi gelap di sebalik wajah agama yang disanjung, memperlihatkan bagaimana kuasa dan pengaruh menutup kebenaran yang selama ini dipendam.


Ustaz Irfan (Firdaus Karim), pendakwah terkenal dan ikon agama di media sosial, dihormati sebagai tenaga pengajar utama di Baitul Khadijah dan menjadi pujaan ramai pelajar wanita. Di sebalik imej sempurna itu, ketenangannya mula tergugat apabila Anisah (Sharifah Rose), seorang pelajar baru yang berani dan berbeza daripada yang lain, tiba di Baitul Khadijah untuk menyambung pelajaran mengikut kehendak ibu bapanya, walaupun cita-citanya mahu menjadi perunding fesyen Muslimah. Kehadirannya
mencetuskan perhatian, teguran dan konflik yang tak dijangka di institusi itu.

Anisah berdepan dengan cabaran bukan sahaja daripada peraturan ketat Ustaz Irfan dan pengawasan para senior, tetapi juga dari pandangan mereka yang terlalu menyanjung imej ustaz dan institusi. Dalam dunia yang lebih mementingkan rupa daripada kebenaran, dia terpaksa mencari ruangnya sendiri, sambil menghadapi fitnah dan cemuhan. Namun persahabatannya dengan Aiman (Nafiz Muaz), tenaga pengajar baharu yang menyokong dan memahami dirinya, mula memberi sedikit harapan di tengah kekeliruan itu.

Di tengah kekalutan dan perselisihan ini, setiap langkah Anisah dan Aiman mendedahkan rahsia lama dan menguji keimanan, prinsip, serta keberanian mereka. Sementara Rabiyatul (Fasha Sandha) dan Tuan Haji Mohsin (Meor Hashim) mula menyedari masalah sebenar di sebalik institusi yang dihormati, tapi adakah kebenaran akan terbongkar atau terus tersembunyi?

Menurut Sharifah Rose, “Anisah melalui perjalanan yang sangat berat, penuh dengan luka yang dipendam dan keberanian yang terpaksa dikumpul sedikit demi sedikit. Watak ini mengajar saya tentang kekuatan seorang wanita yang bangkit walaupun suaranya cuba disenyapkan. Saya harap penonton dapat menyelami emosi Anisah dan mengikuti perjalanan Doa Yang Terlindung hingga ke akhirnya.”

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Doa Yang Terlindung bermula 7 Januari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Penonton boleh menonton episod baharu secara eksklusif di iQIYI, 1 jam selepas siaran di TV3, sama ada melalui laman web iQIYI atau aplikasi di Google Play dan App Store.

(Drama Baharu) Dosa Yang Berulang untuk Samarinda Ramadan TV3

Drama Ramadan untuk slot Samarinda TV3 tahun ini ialah drama Dosa Yang Berulang.

Elizad dan Zamarul Hisham antara pelakon utama drama ini.

Menarik ni! Nantikan!

Blogger

Foto saya
Johor Bahru, Johor, Malaysia
Blog Hiburan dan Peribadi