Apabila doa yang dipanjatkan dalam diam bertembung dengan rahsia yang lama terkubur, siapakah yang akan dilindungi dan siapakah yang akan dikorbankan? Doa Yang Terlindung, sebuah drama baharu penuh konflik dan emosi, bakal menemui penonton mulai 7 Januari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3.
Menampilkan lakonan mantap Fasha Sandha, Firdaus Karim, Sharifah Rose, Nafiz Muaz, Meor Hashim dan barisan pelakon lain. Setiap episod mengajak penonton menyelami perjalanan emosi seorang wanita yang diuji tanpa belas, sehingga dipaksa bangkit daripada runtuhan hidup yang hampir memusnahkan jiwanya.
Diarahkan oleh Idora Abdul Rahman dengan skrip hasil karya Nieza Nahar, Doa Yang Terlindung hadir dalam 28 episod yang mengupas sisi gelap di sebalik wajah agama yang disanjung, memperlihatkan bagaimana kuasa dan pengaruh menutup kebenaran yang selama ini dipendam.
Ustaz Irfan (Firdaus Karim), pendakwah terkenal dan ikon agama di media sosial, dihormati sebagai tenaga pengajar utama di Baitul Khadijah dan menjadi pujaan ramai pelajar wanita. Di sebalik imej sempurna itu, ketenangannya mula tergugat apabila Anisah (Sharifah Rose), seorang pelajar baru yang berani dan berbeza daripada yang lain, tiba di Baitul Khadijah untuk menyambung pelajaran mengikut kehendak ibu bapanya, walaupun cita-citanya mahu menjadi perunding fesyen Muslimah. Kehadirannya
mencetuskan perhatian, teguran dan konflik yang tak dijangka di institusi itu.
Anisah berdepan dengan cabaran bukan sahaja daripada peraturan ketat Ustaz Irfan dan pengawasan para senior, tetapi juga dari pandangan mereka yang terlalu menyanjung imej ustaz dan institusi. Dalam dunia yang lebih mementingkan rupa daripada kebenaran, dia terpaksa mencari ruangnya sendiri, sambil menghadapi fitnah dan cemuhan. Namun persahabatannya dengan Aiman (Nafiz Muaz), tenaga pengajar baharu yang menyokong dan memahami dirinya, mula memberi sedikit harapan di tengah kekeliruan itu.
Di tengah kekalutan dan perselisihan ini, setiap langkah Anisah dan Aiman mendedahkan rahsia lama dan menguji keimanan, prinsip, serta keberanian mereka. Sementara Rabiyatul (Fasha Sandha) dan Tuan Haji Mohsin (Meor Hashim) mula menyedari masalah sebenar di sebalik institusi yang dihormati, tapi adakah kebenaran akan terbongkar atau terus tersembunyi?
Menurut Sharifah Rose, “Anisah melalui perjalanan yang sangat berat, penuh dengan luka yang dipendam dan keberanian yang terpaksa dikumpul sedikit demi sedikit. Watak ini mengajar saya tentang kekuatan seorang wanita yang bangkit walaupun suaranya cuba disenyapkan. Saya harap penonton dapat menyelami emosi Anisah dan mengikuti perjalanan Doa Yang Terlindung hingga ke akhirnya.”
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Doa Yang Terlindung bermula 7 Januari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Penonton boleh menonton episod baharu secara eksklusif di iQIYI, 1 jam selepas siaran di TV3, sama ada melalui laman web iQIYI atau aplikasi di Google Play dan App Store.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan