Dalam lautan filem yang lahir daripada konflik dan peperangan, The Voice of Hind Rajab muncul bukan sekadar sebagai sebuah karya sinema, tetapi sebagai rakaman luka kemanusiaan yang nyata.
Filem ini tidak menjerit dengan visual ledakan atau propaganda, sebaliknya berbisik melalui satu suara kecil yang meminta pertolongan dan tidak pernah dijawab. Berikut ialah kisah dan fakta yang menjadikan filem ini antara karya paling menyayat hati dalam landskap perfileman moden : -
Diangkat daripada Kisah Benar yang Menghantui Dunia
The Voice of Hind Rajab diinspirasikan daripada tragedi sebenar yang berlaku ketika konflik di Gaza pada 29 Januari 2024 melibatkan Hind Rajab, seorang kanak-kanak Palestin. Kisahnya menjadi tumpuan antarabangsa kerana ia merangkum realiti kejam peperangan iaitu kanak-kanak sebagai
mangsa senyap. Hind Rajab bukan sekadar watak, dia adalah simbol ribuan suara kecil yang terperangkap, tanpa perlindungan, tanpa pilihan.
Menggunakan Suara Sebenar Hind: Emosi yang Tidak Dipentaskan
Salah satu elemen paling menggetarkan dalam filem ini ialah penggunaan rakaman audio sebenar panggilan telefon Hind yang meminta pertolongan. Suara itu tidak dilakonkan, tidak diolah justeru ia tulen, mentah dan menyakitkan untuk didengar. Keputusan artistik ini menjadikan filem tersebut hampir
bersifat dokumentari emosi, memaksa penonton berhadapan dengan realiti tanpa tapisan.
Kaouther Ben Hania: Pengarah yang Memberi Suara kepada Yang Terdiam
Filem ini diarahkan oleh Kaouther Ben Hania, pengarah tersohor Tunisia yang terkenal dengan keberaniannya meneroka sempadan antara fiksyen dan dokumentari. Selepas kejayaan karya terdahulu seperti Four Daughters dan The Man Who Sold His Skin, Ben Hania kembali dengan filem keenamnya yang paling sunyi namun paling lantang. Dalam The Voice of Hind Rajab, beliau tidak cuba ‘menceritakan semula’ tragedi, sebaliknya mendengar dan membiarkan penonton turut mendengar.
Disokong Tokoh Besar Industri Filem Dunia
Beberapa nama berpengaruh dalam industri perfileman antarabangsa terlibat sebagai penerbit eksekutif antaranya Brad Pitt dan Joaquin Phoenix, membantu memastikan kisah Hind tidak tersimpan sebagai naratif tempatan semata-mata, sebaliknya dibawa ke pentas global. Sokongan ini juga mencerminkan keyakinan industri terhadap kepentingan cerita ini sebagai dokumen kemanusiaan,
bukan sekadar filem festival.
Lebih Daripada Filem: Sebuah Peringatan
The Voice of Hind Rajab bukan filem yang mudah ditonton dan ia tidak bertujuan untuk itu. Ia hadir sebagai peringatan bahawa di sebalik statistik, laporan berita dan tajuk utama, terdapat suara manusia yang sebenar. Ada yang sempat diselamatkan dan ada yang hanya tinggal gema. Karya ini juga
mendapat sambutan luar biasa dan penghormatan tepukan berdiri (standing ovation) selama 23 minit di Festival Filem Venice, mencipta rekod antara tepukan berdiri terlama dalam sejarah festival tersebut, sebagai tanda sokongan terhadap kanak-kanak Palestin dan kisah tragis Hind Rajab.
Filem ini tidak meminta simpati. Ia menuntut kesedaran. Lantas dalam kesunyian panggilan yang tidak dijawab itu, dunia dipaksa bertanya:
Berapa banyak lagi suara yang perlu hilang sebelum kita benar-benar mendengar?


Tiada ulasan:
Catat Ulasan