Jumaat, 2 Januari 2026

(Drama Baharu) Sinopsis drama Susuk Rupawan TV3

Apabila dendam silam kian membuku, kecantikan boleh bertukar menjadi senjata paling berbahaya. Susuk Rupawan, sebuah drama thriller penuh misteri dan pembalasan, bakal menghantui penonton bermula 7 Januari 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10:00 malam di slot Samarinda TV3. 


Dibintangi Cahaya Nilam sebagai Dewi, drama ini turut menampilkan Adam Lee, Darien Aeldra, Shah Rezza dan Watie Sada. Arahan Amor Rizan, diterbitkan oleh Global Stations serta skrip nukilan Liza Nur, Susuk Rupawan menggabungkan penceritaan sarat suspens dan elemen mistik yang membawa penonton menyelami dunia dendam, kecantikan terlarang dan rahsia gelap yang menghancurkan sebuah keluarga elit dari dalam.

Adam Lee, Cahaya Nilam & Darien.

Susuk Rupawan mengisahkan Dewi (Cahaya Nilam), seorang penari tradisional berusia 20-an dari Johor yang berpindah ke Kuala Lumpur dengan satu tujuan tersembunyi yakni membalas dendam. Dia menyewa di rumah milik arwah Adli dan mendekati anaknya Fadil (Darien Aeldra), yang kemudiannya dijadikan alat untuk merapati Zakri (Adam Lee), cucu kepada Tan Sri Halim (Shah Rezza), seorang tokoh korporat berpengaruh yang pernah merogolnya suatu ketika dahulu. Di sebalik kelembutan dan kecantikan Dewi, tersembunyi niat yang penuh perhitungan.

Ketegangan memuncak ketika Dewi mula berpindah tinggal bersama Fadil, Tan Sri Halim dan Mala (Watie Sadali) hingga pelbagai perkara mistik berlaku di rumah tersebut. Kehadirannya mula mencetuskan retak berlanjutan dalam keluarga kaya tersebut, sehingga rahsia silam akhirnya terbongkar bahawa Dewi sebenarnya ialah Nazimah, mangsa rogol Tan Sri Halim kini kembali dengan wajah muda hasil amalan ilmu hitam serta pemakaian susuk.
Apabila Fadil berdepan kebenaran pahit yang membongkar sisi gelap Dewi, dia cuba menyelamatkan keluarga itu daripada terus terjerumus. Namun segalanya sudah terlambat, satu demi satu tragedi berlaku. Mampukah dosa silam dipadam atau dendam akan terus hidup walau jasad sudah tiada?

“Watak Zakri memberi saya cabaran yang unik kerana saya perlu menunjukkan konflik dalaman antara keluarga, cinta dan dendam yang membelenggu setiap tindakan. Proses penggambaran penuh dengan emosi dan ketegangan, tetapi ia sangat menyeronokkan kerana dapat bekerjasama dengan barisan pelakon berbakat seperti Cahaya Nilam dan Darien Aeldra. Saya harap penonton dapat merasai intensiti dan kesan emosional yang cuba kami sampaikan dalam drama ini,” jelas Adam Lee.

Menggabungkan elemen thriller, mistik dan pembalasan, Susuk Rupawan bukan sekadar kisah dendam seorang wanita, tetapi peringatan tentang harga yang perlu dibayar apabila kezaliman dibiarkan berakar. Dengan penceritaan yang mendebarkan, visual suram dan simbolik serta lagu tema “Sang Pelaku” nyanyian Ameerais & Mariam, drama ini menjanjikan pengalaman tontonan yang menghantui fikiran.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Susuk Rupawan, bermula 7 Januari 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda TV3. Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger

Foto saya
Johor Bahru, Johor, Malaysia
Blog Hiburan dan Peribadi