Isnin, 18 April 2016

(Skrin di 9) Sinopsis telefilem Minit Terakhir

Pernahkah anda beranggapan bahawa jika anda berlengah-lengah cukup lama, sesuatu masalah itu akan selesai dengan sendiri? Pasti ramai yang pernah berfikir begitu, terutamanya apabila seseorang itu tidak bermotivasi untuk menyelesaikan tugasan-tugasan yang membosankan dengan segera.

Sekiranya anda cukup memahami dengan perasaan begitu, pasti anda akan tersenyum apabila melihat gelagat Shahrul, lakonan Zee Tokan (Bintang Mencari Bintang), sebagai seorang pekerja yang gemar menangguh segala tanggungjawabnya dalam telefilem Minit Terakhir yang akan disiarkan pada 18 April 2016 (Isnin), pukul 8.30 malam menerusi slot Skrin di 9.

Telefilem Minit Terakhir merupakan terbitan Enuja Production Sdn. Bhd., di bawah pengarahan saudara Zamri Zakaria dan turut dibintangi oleh Faiz Tapau (Bintang Mencari Bintang), Ain Sofea (Bintang Mencari Bintang), Ika Farhana dan ramai lagi. 

 Zee Tokan dan Ika Farhana

Sinopsis:

Minit Terakhir menceritakan kisah seorang pekerja bernama Shahrul yang gemar untuk menyiapkan segala tugasannya pada saat-saat terakhir. Shahrul bukan sahaja suka menangguh kerja-kerjanya di pejabat, malah dia juga kerap berbuat demikian dari segi aspek lain. Walaupun begitu, dia tetap mempunyai tahap komitmen yang tinggi ketika menjalankan tugas. 

Kehadiran seorang pelajar praktikal, Syakila, yang juga merupakan gadis idaman Shahrul sejak dia berada di universiti lagi, telah membuatkan Shahrul menjadi lebih bermotivasi untuk datang bekerja. Syakila juga ialah seorang gadis jelita yang berasal dari keluarga yang berada.
Pada suatu hari, Kak Ziela selaku pengurus Shahrul telah memberikan dia tugasan untuk menyiapkan kertas cadangan kerja. Seperti biasa, Shahrul menangguh untuk mencetak kertas cadangan kerja yang telah siap.

Sebagai seorang rakan kerja yang baik hati, Aiman seringkali mengingatkan Shahrul tentang kertas cadangan kerja tersebut. Namun, malang tidak berbau. Secara tiba-tiba mesin cetak telah rosak. Oleh kerana takut dimarahi oleh pengurusnya, Shahrul bergegas mencari kedai cetak yang berhampiran. Mungkin nasib baik tidak berpihak kepada Shahrul pada hari itu, ketika Shahrul dalam perjalanan pulang dari mencetak, motornya pula yang rosak di tepi jalan.

Pada keesokan harinya, Shahrul mendapat tahu bahawa Aiman telah dinaikkan pangkat. Oleh kerana tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh pihak atasan, Shahrul mengadu kepada Syakila. Ketika dia sedang bersedih, Syakila mengajak Shahrul keluar secara tiba-tiba. Shahrul sangat gembira dan merasakan Shakila mula menaruh hati terhadapnya. Namun, dia terkejut apabila suatu hari rakannya sendiri, Aiman, menunjukkan gambarnya keluar dengan Shakila.

Sejak itu, Shahrul tidak bersemangat untuk bekerja. Dia telah mengambil cuti selama seminggu untuk menenangkan fikirannya. Adakah Shahrul akan mengubah sikapnya yang buruk itu? Apakah hubungan antara Syakila dan Aiman? Ayuh, jangan menangguh masa lagi untuk menonton telefilem “Minit Terakhir” pada 18 April 2016 (Isnin), pukul 8.30 malam hanya di Skrin di 9!

Zee Tokan ni yang lawak dalam drama Inikah Cinta TV3. Ingat lagi tak? Udada Ubabye!!


ED: selamat menonton!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger

Foto saya
Johor Bahru, Johor, Malaysia
Blog Hiburan dan Peribadi