Sabtu, 12 Julai 2025

Sinopsis telefilem Noktah Dosa arahan Fattah Amin

Kuala Lumpur, 9 Julai 2025 - Dosa, takdir dan peluang kedua. Sejauh mana seorang hamba benar-benar memahami makna di sebalik hidayah, dan mampu melawan sisi gelap hidupnya demi setitik cahaya? Inilah persoalan yang menjadi inti kepada Noktah Dosa, sebuah telefilem yang cukup berat namun membuka mata. Bakal menemui penonton Sabtu ini di slot Cerekarama TV3, karya ini juga merupakan arahan pertama Fattah Amin dalam telefilem, sekali gus menjadi naskhah kedua yang dipaparkan menerusi projek Dari Layar Ke Lensa.

Dari Layar Ke Lensa merupakan inisiatif TV3 yang menampilkan empat pelakon tersohor iaitu Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim yang kini mengambil kerusi pengarah untuk memperkaya kandungan tempatan.

Dengan mengetengahkan penceritaan yang lahir daripada jiwa dan pengalaman mereka sendiri, projek ini mencerminkan komitmen TV3 dalam memperkasa bakat kreatif tempatan serta membuka ruang kepada naratif segar melalui sudut pandang unik para penggiat seni.


Datin Elvina dan Nafiz Muaz

Noktah Dosa membawa penonton mengikuti perjalanan Hafiz (Nafiz Muaz), seorang pelajar pascasiswazah jurusan sosiologi yang sedang menjalankan kajian tentang dunia pelacuran. Penyelidikannya membawanya ke lorong-lorong gelap ibu kota, lalu menemukannya dengan Kamelia (Datin Elvina Mohamad), seorang wanita yang terperangkap dalam dunia hitam bukan atas kehendaknya. Tersentuh dengan kisah silam Kamelia, Hafiz nekad mahu membebaskannya daripada cengkaman Madam (Jasmin Hamid), ibu ayam yang mengawal seluruh hidup wanita itu.

Namun, dalam dunia yang penuh duri dan luka lama, mampukah mereka berdua menemui jalan keluar? Dan sekuat manakah Kamelia mampu melepaskan diri daripada belenggu masa lampaunya?

Disokong oleh barisan pelakon berpengalaman seperti Nafiz Muaz, Datin Elvina Mohamad dan Jasmin Hamid, Noktah Dosa sedia menyentuh nilai kemanusiaan, keinsafan dan kepercayaan dalam berdepan realiti.

Fattah Amin 

Mengulas lanjut tentang cerita ini, Fattah Amin berkata, “Penonton harus tonton telefilem pertama saya, Noktah Dosa, kerana ia membawa mesej yang jelas. Walaupun seseorang berada dalam pekerjaan yang penuh dosa secara zahir, kita tak sepatutnya cepat menilai. Hidayah itu milik Allah dan boleh sampai bila-bila masa, kepada sesiapa sahaja. Walaupun seorang pelacur sekalipun, kalau dah sampai masanya, dia boleh berubah sekelip mata. Sebab itu penting untuk kita tidak menilai hanya berdasarkan luaran, kerana kita sendiri tak tahu apa yang sebenarnya dia lalui.”

Turut berkongsi tentang babak paling mencabar untuk diarahkan, beliau menambah, “Bagi saya, scene paling mencabar adalah babak Kamelia di bilik mandi, yang membawa simbolik kepada penyucian dirinya daripada dosa sebagai escort girl. Saya cuba mendapatkan visual solekan yang mengalir dari wajahnya dan jatuh ke lantai dengan jelas, tapi itu bukan sesuatu yang mudah. Babak itu juga merupakan scene terakhir pada hari tersebut, dan waktu penggambaran pun sudah lewat malam,sekitar jam 2 pagi. Kami terpaksa reshoot beberapa kali, dan akhirnya saya berjaya dapatkan shot itu. Walaupun tidak sempurna, tapi cukup untuk menyampaikan simbolik yang saya mahukan.

Nantikan Noktah Dosa, sebuah telefilem penuh pengajaran yang menguji iman, cinta dan harapan, Sabtu ini, 12 Julai, jam 10 malam di slot Cerekarama TV3.

Teruskan juga kesetiaan anda terhadap projek Dari Layar Ke Lensa dengan dua lagi telefilem menarik yang bakal menyusul, iaitu Susu Lima Kupang arahan Janna Nick pada 19 Julai dan Pencuri Rumah Imam arahan Zahiril Adzim pada 26 Julai, yang akan ditayangkan pada waktu dan slot yang sama.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger

Foto saya
Johor Bahru, Johor, Malaysia
Blog Hiburan dan Peribadi