Sabtu, 14 Disember 2013

(Samarinda TV3) Sinopsis drama Istidraj Cinta

Hai, berikut sinopsis drama terbaharu slot Samarinda TV3, Istidraj Cinta.

Rita Rudaini dan Johan Asari selaku pelakon utama..

Sinopsis:

Mengisahkan tentang Azhar (Johan As’ari), anak kepada Dato’ Yatim (Dato’ Tarmimi Siregar) dan Datin Hashimah (Ifa Raziah) memerlukan penderma kornea mata apabila doktor mengesahkan kornea matanya telah berparut akibat penyakit keratoconus. Di hospital, Azhar bertemu dengan Shahril (Aman Nassim), sahabat baiknya di universiti yang sedang menderita dengan kanser hati yang kronik. 

Shahril sedar bahawa masanya sudah tidak lama, dia memberitahu bahawa dia telah menderma kornea mata kepada Azhar di hadapan Ustaz Ramli dan kakaknya, Siti Fatimah (Rita Rudaini). Shahril meminta Azhar agar berjanji dengannya tidak akan melihat wajah gadis lain selepas pembedahan matanya kecuali wajah Siti Fatimah. Shahril juga meninggalkan wasiat kepada Azhar supaya mengahwini Siti Fatimah dan menjaganya kerana mereka tidak mempunyai sesiapa lagi sejak kematian ibu bapa. Siti Fatimah seorang yang ayu dan sopan tetapi matanya buta sejak kecil.

Siti Fatimah merelakan wasiat Shahril dipenuhi namun dia menolak syarat untuk berkahwin dengan Azhar. Azhar meletakkan syarat kepada ibu bapanya, bahawa dia hanya akan menerima kornea mata Shahril sekiranya dia dibenarkan berkahwin dengan Siti Fatimah. Selepas pembedahan, Azhar meminta agar dia melihat wajah Siti Fatimah terlebih dahulu. Azhar jatuh cinta pandang pertama melihat keayuan wajah Siti Fatimah dan atas nama cinta, dia mahu mengahwini Siti Fatimah. 
Bermulalah kehidupan Siti Fatimah di rumah Dato Azhar. Azhar jatuh cinta dengan Siti Fatimah kerana akhlak dan “Nur” yang terpancar di wajahnya. Walaupun cacat, Siti Fatimah mempunyai akhlak yang terpuji dan sentiasa taat kepada perintah suami serta Allah. Azhar dilantik sebagai CEO kepada Yatim Holdings. 

Sebagai seorang usahawan dalam produk makanan halal, imej keluarga Dato Yatim sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat. Datin Hashimah sentiasa dijadikan contoh oleh golongan wanita muslimah di sekitar kediaman mereka lantaran sering bersedekah dan menganjurkan ceramah agama. Namun tiada sesiapa pun yang tahu, Dato Yatim sebenarnya adalah seorang insan yang kejam kerana dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan hajat dan kehendaknya dipenuhi.

Setelah beberapa bulan menjadi CEO, Azhar mendapat tahu banyak rahsia dan jenayah yang dilakukan oleh Dato Yatim. Sebagai anak, Azhar sedih melihat bapanya yang telah berusia 60 tahun itu tidak mahu berhijrah ke arah yang lebih baik. Mereka mula bergaduh, akhirnya Azhar mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan keluar dari rumah bersama-sama Siti Fatimah. 

Azhar dan Siti Fatimah memulakan kehidupan baharu tanpa bantuan kewangan dan pengaruh Dato’ Yatim. Azhar bekerja sebagai pengurus di sebuah kilang dengan pendapatan yang jauh lebih kecil namun hatinya tenang. Tanpa Azhar sedari, kehidupannya diintip oleh Manap Kerambit yang bekerja untuk Dato’ Yatim malah Azhar sebenarnya bekerja untuk Tan Sri Othman yang merupakan Pengerusi Kumpulan Othman Holdings Sdn Bhd. 

Selepas setahun, anak kepada Tan Sri Othman, Sahaida atau Sha (Syatilla Melvin) pulang ke Malaysia selepas menamatkan pengajiannya di luar negara. Tan Sri Othman mengarahkan Sha untuk menggantikan CEO kilang di mana Azhar bekerja. Kemunculan Sha mengejutkan Azhar kerana hubungan mereka sangat akrab sebelum Sha melanjutkan pelajaran ke luar negara. Beberapa pembaharuan yang dilakukan oleh Sha telah menyebabkan Azhar mula sibuk dan sering keluar berjumpa pelanggan bersama-sama Sha. Keintiman hubungan Azhar dan Sha akhirnya menjerumuskan mereka ke perasaan cinta dan zina.

Siti Fatimah semakin diabaikan dan sering keseorangan. Hancur hati Siti Fatimah selepas mendengar pengakuan Azhar dan hasratnya untuk mengahwini Sha. Alasan Azhar ialah dia mahu membimbing Sha semula ke jalan yang sebenar. Hanya dengan cara mengahwini Sha, akidah gadis itu dapat diselamatkan. Dato’ Yatim dan Tan Sri Othman yang masih mahu berbesan gembira dengan keputusan Azhar. 

Siti Fatimah dan Sha tinggal bersama-sama. Sebagai isteri yang taat kepada perintah Allah dan Rasul, Siti Fatimah cuba menerima Sha dengan sebaik mungkin. Ternyata Sha yang berbeza pegangan hidup serta latar belakang tidak dapat menerima cara hidup Siti Fatimah yang dianggap kolot. Lantaran itu, Sha mula dingin dan sering menyakiti hati Siti Fatimah. 

Azhar cuba menjadi suami yang terbaik untuk kedua-dua wanita yang dicintainya. Sedikit demi sedikit Azhar mula lalai. Solat semakin jarang dikerjakannya. Lebih mengejutkan, Azhar juga sudah mula mabuk bersama-sama Sha. Siti Fatimah sering dipukul dan diherdik. Akhirnya Siti Fatimah ditinggalkan oleh Azhar setelah Sha mengandung. Janji Azhar yang dibuat terhadap Shahril juga dilupakan. 

Dato’ Yatim gembira dan membayangkan hartanya akan melambung menjadi berbilion ringgit. Dato’ Yatim tidak dapat bersabar lagi dan merancang untuk membunuh Tan Sri Othman agar harta tersebut akan menjadi milik Sha. Siti Fatimah yang hidup keseorangan di kampung atas bantuan Ustaz Rahim dan isterinya telah disahkan mengandung. Apakah Azhar akan sedar dan kembali ke jalan yang benar? Apakah kesudahan bagi Dato’ Yatim? (Sumber: TV3)

Saksikan Istidraj Cinta setiap Isnin hingga Rabu, 10 malam di TV3. Udada Ubabye!!



ED: Best drama ni..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger

Foto saya
Johor Bahru, Johor, Malaysia
Blog Hiburan dan Peribadi