Kuala Lumpur, 22 September 2025 – Apabila rahsia lama kembali menghantui dan cinta yang disangka abadi mula goyah, mampukah sebuah keluarga bertahan di tengah badai pengkhianatan? Takdir Cinta Terlarang, arahan Idora Abdul Rahman, mengangkat kisah tentang cinta, dendam, dan pengkhianatan yang menyelubungi rumah tangga, mengisahkan Adham, anak sulung lakonan Jazmy Juma, yang terpaksa berdepan dengan cinta lamanya yang kini menjadi ibu tiri.
Drama bergenre cinta, keluarga dan dendam ini menampilkan 28 episod penuh emosi, dibintangi oleh Jazmy Juma, Shaza Bae, Norish Karman dan Tony Eusoff. Setiap babak membawa penonton menyelami emosi watak dan merasai detik yang menyayat hati. Saksikan drama ini bermula 23 September 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3, atau strim secara percuma di aplikasi iQIYI jam 8.00 malam.
Pertemuan semula mereka membangkitkan konflik lama. Apabila Kamarul mengabaikan Hatiqah dan memihak kepada Sarah, Adham marah dan bertekad untuk membalas dendam. Dia menggoda Sarah untuk memisahkannya dan Kamarul, manakala Sarah perlahan-lahan terseret ke dalam permainan ini.
Hubungan terlarang mereka akhirnya terbongkar, mencetuskan kekacauan dalam keluarga. Kamarul kemudian menceraikan Sarah setelah kebenaran tersingkap. Dalam kekalutan itu, dia kembali kepada Hatiqah untuk menebus kesilapannya, sementara luka yang pernah ditoreh mungkin tidak akan sembuh sepenuhnya.
Menurut Jazmy Juma, “Watak kali ini benar-benar mencabar kerana saya perlu menggalas emosi yang bertentangan antara cinta, dendam dan maruah keluarga. Apa yang membezakan watak ini adalah konflik dalaman yang begitu kuat, saya perlu mengimbangi sisi seorang anak, seorang kekasih dan pada masa sama seorang lelaki yang terluka. Beban emosinya sangat berat, dan itulah yang menjadikan watak ini unik serta paling menguji sepanjang karier saya.”
Takdir Cinta Terlarang bukan sekadar kisah cinta dan skandal, tetapi menggambarkan sebuah keluarga yang diuji oleh pengkhianatan, dendam dan rahsia lama. Setiap keputusan dan rahsia mereka mencerminkan realiti rumah tangga masa kini. Drama ini membuka mata bahawa cinta dan kepercayaan sentiasa dicabar dan hanya mereka yang berani menghadapi kebenaran mampu menemui kedamaian.
Penonton iQIYI VIP boleh strim episod terkini secara ekspres di aplikasi iQIYI, tepat jam 8.00 malam pada hari yang sama. Episod baharu juga boleh ditonton secara PERCUMA - 48 jam selepas tayangan. Muat turun aplikasi iQIYI di App Store atau Play Store sekarang.
Sejak diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2020, iQIYI telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila mencapai peningkatan pengguna lebih daripada 15 kali ganda. Dari segi pertumbuhan keseluruhan dalam tahun 2021, iQIYI juga tersenarai sebagai khidmat penstriman Asia nombor satu di Malaysia berdasarkan jumlah muat turun, jumlah pelanggan aktif bulanan, dan jumlah masa yang diluangkan di platform tersebut.
Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan