Kuala Lumpur, 4 September 2025 – Bagi menghayati keberkatan Maulidur Rasul 1447H, TV3 dan TV9 mempersembahkan kandungan ilmiah yang penuh dengan nilai kerohanian. Inisiatif ini menggariskan komitmen kedua-dua saluran dalam menyampaikan ilmu dan mendidik masyarakat melalui penghayatan sunah serta teladan Rasulullah SAW.
Sebagai sorotan utama kempen tahun ini, Tanyalah Ustaz,
program televisyen keagamaan yang paling mendapat sambutan, kini diperkenalkan
dengan imej baharu melalui episod khas bertajuk ‘Bertopengkan Sunah.’ Perbincangan
ini mengupas isu penyalahgunaan salasilah Nabi Muhammad SAW demi kepentingan
peribadi, puak atau ideologi tertentu, termasuk penggunaan hadis palsu bagi
menghalalkan tindakan yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.
Episod istimewa yang disiarkan pada 5 September 2025 ini menyatukan Datuk Ustaz Kazim Elias dan Ustaz Yaakub Yusra sebagai panelis, bersiaran pada jam 6.50 pagi di TV3 dan TV9.
- Bacaan
Yasin 2025 (Bersiaran pada 5 September 2025)
Enam qari tersohor memperdengarkan bacaan Surah Yasin dengan lenggok murattal masing-masing. Setiap alunan diperkaya dengan visual A.I. yang menghidupkan maksud ayat-ayat suci bagi memberi penghayatan dan kefahaman kepada penonton. Alunan Surah Yasin ini dibacakan oleh Da’i Hakim, Da’i Fahmi, Ustaz Fakhrul Radhi, Husaini Mahmuri, Amirahman Abas dan Harith Hakimi. - Kapsul
Rasulullah Cahaya Inspirasi (Bersiaran mulai 2 – 7 September 2025)
Siri kapsul dua minit bersama Ustaz Muhamad Amin memberi fokus kepada empat sifat utama Rasulullah SAW iaitu Siddiq (jujur), Amanah (dipercayai), Tabligh (menyampaikan) dan Fathonah (bijaksana). Setiap episod mengetengahkan kisah ringkas daripada kehidupan Baginda yang memberi inspirasi untuk dijadikan pedoman harian.
- Kapsul
Selawat (Bersiaran mulai 5 – 7 September 2025)
Kumpulan Nasyid As-Saif dari SK Telok Pulai, Klang membawakan qasidah selawat berdurasi dua minit dengan penuh penghayatan dan kemerduan. Persembahan ini bukan sahaja menyemai rasa cinta kepada Rasulullah SAW, malah turut menonjolkan keindahan seni Islam dalam kalangan generasi muda.
Terdapat juga Tanyalah Ustaz: Diari Muslim, yang membimbing penonton menelusuri amalan sunah harian yang sering terlepas pandang, bersiaran dari 29 Ogos hingga 20 September 2025. Bersama Ustaz Izmir Fareez, antara topik yang bakal dibincangkan ialah Sambut Laungan Azan, Tahnik & Aqiqah, Salam dan Izin, serta Berkat Setiap Suapan.
Dengan rangkaian program berlandaskan ketakwaan ini, TV3 dan TV9 berharap usaha ini dapat mengukuhkan perpaduan, menyemai kasih serta kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Untuk info terkini dan kandungan menarik, layari laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram di @TV3Malaysia, serta TV9 di @TV9Malaysia dan TikTok @TV9MalaysiaOfficial untuk lebih banyak lagi kandungan eksklusif dan menarik!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan