Kuala Lumpur, 3 Ogos 2025 - Bila si ceria bertemu si tegas, lahirlah cinta tak diduga di hospital. Drama terbaharu slot Akasia, Hospital Loveline, hadir dengan gabungan romantik, komedi dan emosi menyentuh hati. Berlatarbelakangkan suasana hospital, ia mengisahkan perjalanan cinta Sophia (Scha Elinnea), gadis riang yang setia menjaga neneknya, bersama Dr. Arfan (Syarul Ezani), seorang doktor tampan yang hidup penuh disiplin dan ketegasan.
Hospital Loveline, arahan Ng Ken Kin terbitan Orangetree Production Sdn Bhd, bakal ditayangkan selama 13 episod menerusi slot Akasia. Membariskan gandingan utama Scha Elinnea dan Syarul Ezani, drama ini turut menampilkan Sean Lee, Jaja Iliyes, Hanna Aqeela, Kismah Johar, Dato’ Jalaluddin Hassan dan Apich Lo,menjadikan naskhah romantik komedi ini lebih segar, berwarna dan dekat di hati penonton.
Sophia, seorang ahli fisioterapi di Hospital Insani, tidak
pernah terpesona dengan aura Dr. Arfan, doktor muda yang sering menjadi
perhatian setiap kali melangkah masuk ke hospital. Walaupun ramai yang
mengaguminya, Sophia lebih memilih untuk menumpukan kasih sayang kepada
neneknya, Opah Tijah (Kismah Johar), satu-satunya tempat dia bergantung setelah
kehilangan ibu dan ayahnya berkahwin lain.
Takdir mempertemukan Sophia dan Dr. Arfan dalam satu insiden
cemas yang mengubah hubungan mereka. Dalam masa sama, hospital turut berdepan
tekanan apabila Dr. Farhad (Dato’ Jalaluddin Hassan), ayah kepada Dr. Arfan
merangkap pengarah hospital, ditekan oleh adiknya Dr. Malik (Zarul Umbrella)
kerana gagal menangani isu-isu pengurusan yang semakin meruncing. Konflik
profesional ini menambah lapisan drama di sebalik dunia perubatan yang penuh
cabaran.
Ketika hidup Sophia semakin sibuk, kehadiran mengejut Opah
di Kuala Lumpur membawa kebahagiaan seketika sebelum bertukar panik apabila
Opah tiba-tiba jatuh di tepi jalan dan terpaksa dirawat di hospital tempat
Sophia bekerja. Secara tidak disangka, Dr. Arfan ditugaskan untuk menjaga Opah,
dan dari situ bermulalah misi penuh manis dan lucu apabila Opah cuba menyatukan
dua hati tetapi mampukah usaha Opah benar-benar berjaya? Atau adakah rahsia dan
konflik lain bakal menghalang cinta mereka?
Menurut Scha Elinnea “Saya sangat teruja membawakan watak
Sophia kerana dia seorang yang ceria, spontan dan penuh kasih sayang, namun
dalam masa sama berdepan situasi tidak dijangka di hospital. Hospital Loveline
bukan sekadar kisah cinta biasa kerana ia menggabungkan humor, konflik dan
mesej tentang keluarga. Saya percaya penonton akan terhibur dengan gelagat
Sophia dan Dr. Arfan, sambil turut merasai sisi emosi yang lebih mendalam.”
Dengan gabungan jalan cerita yang penuh warna, konflik yang mengusik hati dan
watak-watak yang segar, Hospital Loveline dijangka menjadi tontonan
wajib bagi peminat drama romantik komedi tempatan. Iabukan sekadar kisah cinta
di sebalik dinding hospital, tetapi juga perjalanan tentang bagaimana pertemuan
tanpa diduga boleh merubah takdir dan membuka pintu hati.
Jangan terlepas untuk saksikan Hospital Loveline, bermula
4 September 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia
TV3. Strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun
aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.
Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda,
layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu
@TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan