Selasa, 16 Disember 2025

Sinopsis drama Perempuan Tidak Ternikah TV3

Apabila cinta diragut dan keluarga berpaling, seorang wanita kehilangan segalanya dalam sekelip mata; mampukah dirinya bangkit semula? Perempuan Tidak Ternikah, sebuah drama sarat emosi yang menyentuh sisi gelap cinta, pengorbanan dan kehancuran, bakal menemui penonton mulai 17 Disember 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3.

Poster Perempuan Tidak Ternikah 

Menampilkan lakonan mantap Elizad Sharifuddin sebagai Keisya, drama ini turut digandingkan bersama Yusuf Bahrin, Shahz Jaszle, Ali Reza, Raden Zaharatul, Kaza, Sharifah Shahora dan Gabriel Chung. Setiap episod membawa penonton menyelami penderitaan seorang wanita yang diuji tanpa belas, dipaksa bangkit daripada runtuhan hidup yang hampir memusnahkan jiwanya.

Elizad

Perempuan Tidak Ternikah mengisahkan Keisya (Elizad Sharifuddin), seorang gadis yang dibesarkan oleh neneknya, selepas ibu bapanya berpisah. Tunangnya, Adli (Ali Reza), menjadi satu-satunya tempat Keisya bergantung harap apabila ayah kandungnya, Malik (Kaza), cuba mengambil kesempatan ke atasnya. Kehidupan Keisya terus diuji apabila rahsia silam terbongkar bahawa dia sebenarnya anak luar nikah, dan Malik menuntut wang sebagai syarat untuk menandatangani surat pengakuan pernikahan.

Demi cinta, Keisya dan Adli nekad bernikah di Siam. Namun kebahagiaan itu hanya seketika. Neneknya meninggal dunia akibat serangan jantung, manakala Adli pula maut dalam kemalangan jalan raya. Kehilangan dua insan tersayang membuatkan Keisya jatuh ke lembah kemurungan, lebih perit apabila keluarga Adli menolak dirinya bersama zuriat yang dikandungnya.

Yusuf Bahrin 

Dalam keadaan hampir berputus asa, Keisya diselamatkan oleh Rayyan (Yusuf Bahrin), seorang lelaki yang membantunya bangkit dan memulakan hidup baharu di rumah kebajikan. Walaupun benih cinta mula berputik, trauma masa lalu membuatkan Keisya menepis perasaan itu dan memilih untuk melarikan diri.
Mampukah seorang bakal ibu bangkit apabila segalanya dirampas daripadanya? Bolehkah hati yang terluka kembali percaya pada kebahagiaan? Perempuan Tidak Ternikah bukan sekadar drama tentang cinta yang tidak kesampaian, tetapi kisah tentang maruah seorang wanita dan trauma yang diwarisi. Ia mengangkat realiti kehidupan yang sering berlaku dalam masyarakat apabila wanita menjadi mangsa keadaan, penganiayaan dan keputusan orang lain.

Dengan penceritaan yang penuh emosi, konflik keluarga yang mendalam serta lakonan hebat daripada barisan pelakon berpengalaman, drama ini menjanjikan pengalaman tontonan yang menyentuh perasaan dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Perempuan Tidak Ternikah, bermula 17 Disember 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Blogger

Foto saya
Johor Bahru, Johor, Malaysia
Blog Hiburan dan Peribadi