Isnin, 22 September 2025

Sinopsis drama Takdir Cinta Terlarang TV3

Kuala Lumpur, 22 September 2025 – Apabila rahsia lama kembali menghantui dan cinta yang disangka abadi mula goyah, mampukah sebuah keluarga bertahan di tengah badai pengkhianatan? Takdir Cinta Terlarang, arahan Idora Abdul Rahman, mengangkat kisah tentang cinta, dendam, dan pengkhianatan yang menyelubungi rumah tangga, mengisahkan Adham, anak sulung lakonan Jazmy Juma, yang terpaksa berdepan dengan cinta lamanya yang kini menjadi ibu tiri.


Drama bergenre cinta, keluarga dan dendam ini menampilkan 28 episod penuh emosi, dibintangi oleh Jazmy Juma, Shaza Bae, Norish Karman dan Tony Eusoff. Setiap babak membawa penonton menyelami emosi watak dan merasai detik yang menyayat hati. Saksikan drama ini bermula 23 September 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3, atau strim secara percuma di aplikasi iQIYI jam 8.00 malam. 



Takdir Cinta Terlarang mengisahkan keluarga Kamarul (Tony Eusoff) dan Hatiqah (Norish Karman) yang telah berumah tangga selama 28 tahun dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Adham (Jazmy Juma), Asyraf (Darien Ael) dan Asmalia (Manda Hash). Kehidupan mereka terganggu apabila Kamarul berkahwin dengan Sarah (Shaza Bae), bekas kekasih Adham. Semasa menuntut pelajaran di Australia, Adham meninggalkan Sarah sehingga dia gagal menamatkan pengajian, meninggalkan luka yang masih menghantui hatinya.

Pertemuan semula mereka membangkitkan konflik lama. Apabila Kamarul mengabaikan Hatiqah dan memihak kepada Sarah, Adham marah dan bertekad untuk membalas dendam. Dia menggoda Sarah untuk memisahkannya dan Kamarul, manakala Sarah perlahan-lahan terseret ke dalam permainan ini.



Jazmy Juma dan Shaza Bae

Hubungan terlarang mereka akhirnya terbongkar, mencetuskan kekacauan dalam keluarga. Kamarul kemudian menceraikan Sarah setelah kebenaran tersingkap. Dalam kekalutan itu, dia kembali kepada Hatiqah untuk menebus kesilapannya, sementara luka yang pernah ditoreh mungkin tidak akan sembuh sepenuhnya.

Jazmy Juma 

Menurut Jazmy Juma, “Watak kali ini benar-benar mencabar kerana saya perlu menggalas emosi yang bertentangan antara cinta, dendam dan maruah keluarga. Apa yang membezakan watak ini adalah konflik dalaman yang begitu kuat, saya perlu mengimbangi sisi seorang anak, seorang kekasih dan pada masa sama seorang lelaki yang terluka. Beban emosinya sangat berat, dan itulah yang menjadikan watak ini unik serta paling menguji sepanjang karier saya.”

Takdir Cinta Terlarang bukan sekadar kisah cinta dan skandal, tetapi menggambarkan sebuah keluarga yang diuji oleh pengkhianatan, dendam dan rahsia lama. Setiap keputusan dan rahsia mereka mencerminkan realiti rumah tangga masa kini. Drama ini membuka mata bahawa cinta dan kepercayaan sentiasa dicabar dan hanya mereka yang berani menghadapi kebenaran mampu menemui kedamaian.

Penonton iQIYI VIP boleh strim episod terkini secara ekspres di aplikasi iQIYI, tepat jam 8.00 malam pada hari yang sama. Episod baharu juga boleh ditonton secara PERCUMA - 48 jam selepas tayangan. Muat turun aplikasi iQIYI di App Store atau Play Store sekarang.

Sejak diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2020, iQIYI telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila mencapai peningkatan pengguna lebih daripada 15 kali ganda. Dari segi pertumbuhan keseluruhan dalam tahun 2021, iQIYI juga tersenarai sebagai khidmat penstriman Asia nombor satu di Malaysia berdasarkan jumlah muat turun, jumlah pelanggan aktif bulanan, dan jumlah masa yang diluangkan di platform tersebut.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

Khamis, 4 September 2025

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL LEBIH BERMAKNA BERSAMA TV3 & TV9

Kuala Lumpur, 4 September 2025 – Bagi menghayati keberkatan Maulidur Rasul 1447H, TV3 dan TV9 mempersembahkan kandungan ilmiah yang penuh dengan nilai kerohanian. Inisiatif ini menggariskan komitmen kedua-dua saluran dalam menyampaikan ilmu dan mendidik masyarakat melalui penghayatan sunah serta teladan Rasulullah SAW.

Sebagai sorotan utama kempen tahun ini, Tanyalah Ustaz, program televisyen keagamaan yang paling mendapat sambutan, kini diperkenalkan dengan imej baharu melalui episod khas bertajuk ‘Bertopengkan Sunah.’ Perbincangan ini mengupas isu penyalahgunaan salasilah Nabi Muhammad SAW demi kepentingan peribadi, puak atau ideologi tertentu, termasuk penggunaan hadis palsu bagi menghalalkan tindakan yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar. 

Episod istimewa yang disiarkan pada 5 September 2025 ini menyatukan Datuk Ustaz Kazim Elias dan Ustaz Yaakub Yusra sebagai panelis, bersiaran pada jam 6.50 pagi di TV3 dan TV9.

 Selain itu, pelbagai pengisian lain turut disusun bagi memperkaya pengalaman penonton sepanjang sambutan Maulidur Rasul:

  1. Bacaan Yasin 2025 (Bersiaran pada 5 September 2025)
    Enam qari tersohor memperdengarkan bacaan Surah Yasin dengan lenggok murattal masing-masing. Setiap alunan diperkaya dengan visual A.I. yang menghidupkan maksud ayat-ayat suci bagi memberi penghayatan dan kefahaman kepada penonton. Alunan Surah Yasin ini dibacakan oleh Da’i Hakim, Da’i Fahmi, Ustaz Fakhrul Radhi, Husaini Mahmuri, Amirahman Abas dan Harith Hakimi.

  2. Kapsul Rasulullah Cahaya Inspirasi (Bersiaran mulai 2 – 7 September 2025)
    Siri kapsul dua minit bersama Ustaz Muhamad Amin memberi fokus kepada empat sifat utama Rasulullah SAW iaitu Siddiq (jujur), Amanah (dipercayai), Tabligh (menyampaikan) dan Fathonah (bijaksana). Setiap episod mengetengahkan kisah ringkas daripada kehidupan Baginda yang memberi inspirasi untuk dijadikan pedoman harian.


  3. Kapsul Selawat (Bersiaran mulai 5 – 7 September 2025)
    Kumpulan Nasyid As-Saif dari SK Telok Pulai, Klang membawakan qasidah selawat berdurasi dua minit dengan penuh penghayatan dan kemerduan. Persembahan ini bukan sahaja menyemai rasa cinta kepada Rasulullah SAW, malah turut menonjolkan keindahan seni Islam dalam kalangan generasi muda.

Terdapat juga Tanyalah Ustaz: Diari Muslim, yang membimbing penonton menelusuri amalan sunah harian yang sering terlepas pandang, bersiaran dari 29 Ogos hingga 20 September 2025. Bersama Ustaz Izmir Fareez, antara topik yang bakal dibincangkan ialah Sambut Laungan Azan, Tahnik & Aqiqah, Salam dan Izin, serta Berkat Setiap Suapan.

Dengan rangkaian program berlandaskan ketakwaan ini, TV3 dan TV9 berharap usaha ini dapat mengukuhkan perpaduan, menyemai kasih serta kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Untuk info terkini dan kandungan menarik, layari laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram di @TV3Malaysia, serta TV9 di @TV9Malaysia dan TikTok @TV9MalaysiaOfficial untuk lebih banyak lagi kandungan eksklusif dan menarik!

Rabu, 3 September 2025

Sinopsis drama Hospital Loveline TV3

Kuala Lumpur, 3 Ogos 2025 - Bila si ceria bertemu si tegas, lahirlah cinta tak diduga di hospital. Drama terbaharu slot Akasia, Hospital Loveline, hadir dengan gabungan romantik, komedi dan emosi menyentuh hati. Berlatarbelakangkan suasana hospital, ia mengisahkan perjalanan cinta Sophia (Scha Elinnea), gadis riang yang setia menjaga neneknya, bersama Dr. Arfan (Syarul Ezani), seorang doktor tampan yang hidup penuh disiplin dan ketegasan.


Hospital Loveline, arahan Ng Ken Kin terbitan Orangetree Production Sdn Bhd, bakal ditayangkan selama 13 episod menerusi slot Akasia. Membariskan gandingan utama Scha Elinnea dan Syarul Ezani, drama ini turut menampilkan Sean Lee, Jaja Iliyes, Hanna Aqeela, Kismah Johar, Dato’ Jalaluddin Hassan dan Apich Lo,menjadikan naskhah romantik komedi ini lebih segar, berwarna dan dekat di hati penonton.

Sophia, seorang ahli fisioterapi di Hospital Insani, tidak pernah terpesona dengan aura Dr. Arfan, doktor muda yang sering menjadi perhatian setiap kali melangkah masuk ke hospital. Walaupun ramai yang mengaguminya, Sophia lebih memilih untuk menumpukan kasih sayang kepada neneknya, Opah Tijah (Kismah Johar), satu-satunya tempat dia bergantung setelah kehilangan ibu dan ayahnya berkahwin lain.

Takdir mempertemukan Sophia dan Dr. Arfan dalam satu insiden cemas yang mengubah hubungan mereka. Dalam masa sama, hospital turut berdepan tekanan apabila Dr. Farhad (Dato’ Jalaluddin Hassan), ayah kepada Dr. Arfan merangkap pengarah hospital, ditekan oleh adiknya Dr. Malik (Zarul Umbrella) kerana gagal menangani isu-isu pengurusan yang semakin meruncing. Konflik profesional ini menambah lapisan drama di sebalik dunia perubatan yang penuh cabaran.

Ketika hidup Sophia semakin sibuk, kehadiran mengejut Opah di Kuala Lumpur membawa kebahagiaan seketika sebelum bertukar panik apabila Opah tiba-tiba jatuh di tepi jalan dan terpaksa dirawat di hospital tempat Sophia bekerja. Secara tidak disangka, Dr. Arfan ditugaskan untuk menjaga Opah, dan dari situ bermulalah misi penuh manis dan lucu apabila Opah cuba menyatukan dua hati tetapi mampukah usaha Opah benar-benar berjaya? Atau adakah rahsia dan konflik lain bakal menghalang cinta mereka?

Menurut Scha Elinnea “Saya sangat teruja membawakan watak Sophia kerana dia seorang yang ceria, spontan dan penuh kasih sayang, namun dalam masa sama berdepan situasi tidak dijangka di hospital. Hospital Loveline bukan sekadar kisah cinta biasa kerana ia menggabungkan humor, konflik dan mesej tentang keluarga. Saya percaya penonton akan terhibur dengan gelagat Sophia dan Dr. Arfan, sambil turut merasai sisi emosi yang lebih mendalam.”


Dengan gabungan jalan cerita yang penuh warna, konflik yang mengusik hati dan watak-watak yang segar, Hospital Loveline dijangka menjadi tontonan wajib bagi peminat drama romantik komedi tempatan. Iabukan sekadar kisah cinta di sebalik dinding hospital, tetapi juga perjalanan tentang bagaimana pertemuan tanpa diduga boleh merubah takdir dan membuka pintu hati.

Jangan terlepas untuk saksikan Hospital Loveline, bermula 4 September 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

Blogger

Foto saya
Johor Bahru, Johor, Malaysia
Blog Hiburan dan Peribadi